Ketua Pegawai Eksekutif MIG David Teo membidas kenyataan Aeril Zafrel yang mendakwa MIG berhutang dengannya dan isteri Wawa Zainal puluhan ribu dengan berkata mereka tidak layak untuk bertanyakan sebarang bayaran yang tertunggak.
"Kedua-dua mereka tidak mengikut kontrak dan menamatkan perjanjian serta-merta tanpa sebarang perbincangan dengan MIG.
"Sedangkan pihak kami meminta mereka datang untuk berbincang perkara ini dengan lebih lanjut, tetapi baik Aeril mahupun Wawa mereka buat tak endah sahaja," katanya yang dipetik dari mStar.
Pada masa sama, David turut berasa pelik dengan Aeril yang masih lagi memperbesarkan isu kehilangan kerta itu dengan menuduh MIG menjadi puncanya.
"Di MIG saya mengamalkan konsep seperti pihak kerajaan buat bagi membantu golongan susah menerusi skim sewa beli di mana kami menyediakan rumah dan kereta buat para pelakon menerusi skim tersebut.
"Memandangkan Wawa tidak lagi membayar sewa kereta maka kereta tersebut sudah semestinya dipulangkan kepada kami. Itu pun kami jumpa kereta itu selepas Wawa memberitahu tentang kehilangan kereta itu."
Sementara itu, David yang dinasihatkan oleh peguam untuk mengambil tindakan undang-undang bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana dia masih menganggap mereka sebagai anak-anak yang mahu membesar.
"Saya percaya setiap kesilapan yang dilakukan akan menjadi pengajaran. Begitu juga dengan mereka yang masih lagi belajar tentang kehidupan."
Sumber: Mstar.com.my